Masalah Taman Universiti

Disebabkan kepadatan penduduk, jalan-jalan utama sering sesak di waktu puncak, terutama sekali di kawasan sekolah-sekolah. Pola penduduk bukan sahaja terdiri daripada warga tempatan, tetapi sudah menjadi satu komuniti antarabangsa. Warga asing dari negara Indonesia, Vietnam, Bangladesh, Nepal, Myanmar, India, Iran, Arab dan Afrika telah menetap di sini. Mereka ini merupakan tenaga kerja perindustrian yang menyumbang kepada kegiatan ekonomi utama di taman ini dan juga antara warga asing ini terdapat juga yang terdiri daripada pelajar-pelajar antarabangsa yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia.

Kepadatan penduduk yang tinggi di samping kegiatan industri yang pesat pasti mengundang masalah lambakan sampah sarap (makanan/sisa industri), asap industri, penambahan suhu setempat disebabkan oleh pelepasan karbon monoksida dari kenderaan, wabak penyakit seperti demam denggi hasil daripada tempat pembiakan nyamuk yang tidak dibersihkan, pembakaran terbuka dan masalah-masalah lain seperti yang sering dihadapi di kawasan-kawasan padat yang lain.

Kebanjiran warga asing di taman ini boleh dikatakan tidak menjadi satu isu yang besar dan setakat ini terkawal kerana adanya pihak-pihak berkuasa seperti polis, RELA, pihak imigresen dan Skim Rondaan Tetangga yang memantau keharmonian dan keselamatan awam.